Khamis, 17 September 2015

Tanggungjawab Wanita Berkerjaya

SECARA tradisinya, seseorang wanita yang telah berumah tangga akan bertanggung jawab untuk mengurus dan mentadbir rumah tangganya. Umum memaklumi bahawa tanggung jawab wanita sebagai seorang isteri atau ibu adalah memastikan keluarganya dapat diuruskan dengan baik. Rezeki yang diberikan oleh suami dapat diagih-agihkan kepada setiap ahli keluarga dengan adil dan menjadikan setiap ahli keluarga merasa selesa. Memikul peranan sebagai seorang ibu juga termasuklah memelihara anak-anak dengan memberikan didikan yang sempurna. Kedudukan wanita yang telah berumah tangga dan pelaksanaan tanggung jawab ini selaras dengan maksud sebuah hadis Nabi yang berbunyi;
"Setiap orang daripada kamu adalah pemimpin dan setiap orang daripada kamu akan ditanya tentang orang yang dipimpinnya" dinyatakan juga padanya: Wanita adalah pemimpin di rumah suaminya dan dia akan ditanya tentang apa yang dipimpinnya."
Kedudukan seseorang wanita yang telah berumah tangga juga terikat dengan ketentuan Islam yang menjadikan lelaki sebagai ketua rumah tangga sebagaimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud;
"Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh sebab Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemeliharaan Allah dan pertolonganNya" (Al-Nisa': 34)

Apabila kita menggabungkan kedua konsep ini, mengenai kedudukan wanita dan lelaki dalam rumah tangga masing-masing menunjukkan bahawa pengurusan dan pelaksanaan pentadbiran yang dilakukan oleh si isteri mestilah seiring dengan dasar yang telah ditentukan oleh si suami sebagai ketua rumah tangga. Selain itu juga berdasarkan apa yang dapat difahami dalam kedua-dua dalil ini menunjukkan bahawa isteri mesti taat kepada perintah suami dalam bentuk menjaga nama baik keluarga, menjaga amanah dari suami seperti hartanya, memastikan keputusan yang dibuat olehnya hanyalah dalam lingkungan keizinan suami dan keluar rumah dalam keizinan pihak suami termasuklah bagi tujuan untuk keluar bekerja.
Namun demikian, jika kita perhatikan dari aspek kedudukan wanita Islam sebagai pengurus rumah tangga dengan realiti yang ada, apa yang berlaku pada hari ini kelihatan tidak seiringan dengan konsep yang dinyatakan dalam maksud hadis di atas. Semakin ramai wanita yang berkahwin tidak menjadi suri rumah sepenuh masa. Rata-rata di kalangan wanita yang berpendidikan tinggi pula mempunyai kerjaya yang setanding dengan pendidikan yang ada. Pada diri wanita-wanita ini terdapat berbagai-bagai alasan mengapa mereka perlu ke luar dari rumah untuk bekerja dan berkerjaya.
Alasan atau faktor pertama yang menyebabkan wanita ini bekerja ialah pendidikan yang mereka miliki. Apabila ibu bapa mereka telah memberikan pendidikan secara formal sejak mereka kecil, tentulah apabila dewasa mereka mahu menggunakan pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki. Bekerja adalah pendekatan yang secara lumrah digunakan bagi membolehkan mereka mengimplementasi pengetahuan dan kemahiran tersebut dan pada masa yang sama mereka memperoleh ganjarannya. Mempunyai pendapatan sendiri merupakan suatu kejayaan yang besar nilainya, dan tentulah mereka ingin berkongsi kejayaan tersebut dengan orang yang sebelum itu memberi dorongan yang tidak berbelah bahagi, iaitu ibu bapa.
Apabila kita menyebut soal ganjaran, antara ganjaran yang dapat dimiliki oleh wanita yang bekerja dan bekerjaya ialah, sesebuah kerjaya berupaya menjadikan seseorang wanita memperbaiki dirinya sebagai seorang individu. Kerjaya dapat memberikan pengalaman kepadanya, kematangan dalam memberi persepsi mengenai kehidupan, keyakinan dan sebagainya. Malah, kerjaya yang dimilikinya dapat menjadikannya sebagai seorang ibu yang boleh mendidik anak-anaknya dengan cara yang lebih berkesan dan praktikal. Keadaan ini sudah pastinya memberikan nilai yang jauh lebih baik sekalipun dia terpaksa mengorbankan sebahagian daripada masanya untuk berada di rumah. Dan kita boleh menganggap bahawa ini adalah faktor kedua yang menyebabkan sebahagian daripada wanita memilih untuk keluar bekerja.
Sebab lain yang mendorong wanita untuk keluar dari rumah untuk bekerja adalah tekanan keperluan kehidupan. Adalah suatu perkara yang lumrah pada hari ini untuk mengatakan bahawa pendapatan yang hanya datang dari pihak suami kurang mencukupi bagi sesebuah keluarga menjalani kehidupan mereka. Apatah lagi dalam keadaan taraf kehidupan pada hari ini yang semakin tinggi. Oleh sebab itu, wanita secara sukarela mengambil keputusan untuk keluar rumah bekerja bagi mendapatkan pendapatan lebih bagi keluarganya sebagai memastikan keluarganya berada dalam keadaan yang selesa.
Apabila wanita-wanita ini sudah berada di luar rumah, maka mereka terpaksa memendekkan masa dalam mengurus hal-hal rumah tangga. Sesetengah mereka tidak menghadapi masalah kerana ahli-ahli keluarga yang lain, terutamanya pihak suami memahami keadaan mereka. Walaupun demikian, sesetengah mereka yang lain merasa agak tertekan kerana keluarga masih menuntut perhatian secara sepenuhnya apabila wanita ini pulang dari tempat kerja. Masalah ini bukan sahaja dialami oleh mereka yang berpendidikan sederhana tetapi turut dialami oleh mereka dari golongan professional seperti doktor, peguam, arkitek dan sebagainya. Sesetengah kaum bapa tidak menyedari dan tidak cuba memahami tekanan yang dialami oleh isteri mereka kerana menganggap bahawa kerja-kerja di rumah mudah untuk dilaksanakan dan ia adalah suatu fitrah untuk dilaksanakan oleh kaum ibu. Apabila keadaan ini berlaku maka berlakulah suatu dilema dalam diri wanita berkenaan.
Bagi mengatasi dilema ini atau cabaran wanita perlulah mengambil beberapa tindakan supaya tanggungjawab mereka sebagai ibu dan isteri tidak terjejas.Antaranya:-
1. Mempunyai jadual harian.











2. Mempunyai menu masakan mingguan













3. Mempunyai jadual membersihkan rumah





















4. Membuat jadual untuk anak-anak untuk belajar  dan aktiviti-aktiviti lain



Tiada ulasan:

Copyright to FABULOUS DESIGNER COLLECTION
Designed by 2015